Thursday, February 3, 2011

Jangan tunggu keadaan huru-hara

SEMPORNA 3 Feb. – “Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi keruh dan huru-hara, baru Majlis Fatwa Kebangsaan hendak mengkaji kenyataan kontroversi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.”
Begitulah kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal apabila diminta mengulas mengenai desakan supaya Majlis Fatwa mengkaji kenyataan-kenyataan Menteri Besar Kelantan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa perbuatan terlalu taksub terhadap pemimpin tanpa mengira sama ada ia benar atau tidak boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan antara pengikut beberapa mazhab di luar negara.
Menurut beliau, pengikut fahaman-fahaman itu mempunyai akidah yang sama iaitu beriman kepada Allah tetapi pada masa sama bergaduh sesama sendiri kerana ajaran dan tafsiran agama berbeza yang ditonjolkan oleh pemimpin masing-masing.
“Kenyataan demi kenyataan yang boleh memesongkan rakyat tidak boleh lagi dibiarkan kerana dikhuatiri akhirnya ia akan dianggap sebagai betul oleh sesetengah kumpulan.
“Kita perlu teliti dan berhati-hati kerana tidak mahu nanti akan berlaku sesuatu perkara tidak sihat di negara ini. Pihak berkuasa agama yang mempunyai autoriti perlu bertindak dan jangan lagi biarkan sesiapa sahaja membuat fatwa mengelirukan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerangan program Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kampung Seraya di sini hari ini.
Tegas Mohd. Shafie, perkara membabitkan ketaksuban terhadap agama dan bangsa amat berbahaya kerana manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankannya termasuk sanggup menggadai nyawa mereka.
“Cukuplah segala-galanya dipolitikkan hinggakan dalam perkara agama pun politik tetap didahulukan demi memenuhi agenda peribadi,” katanya.
Semalam, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Mohd. Noor Deris meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Abdul Aziz yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.
Terbaru, katanya, Mursyidul Am Pas itu mengeluarkan kenyataan yang sungguh mengelirukan umat Islam apabila menyatakan mereka yang tidak menyokong Pas ialah orang jahiliah semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, baru-baru ini.

sumber utusan

No comments:

Post a Comment